Friday, December 12, 2008

KETUANAN MELAYU : JANGAN SENGAJA DISALAH-ERTIKAN

Ketuanan Melayu (dikenali juga sebagai the Malay Supremacy/Dominance) bukan bererti orang Melayu hendak menjadi “tuan,” walaupun semua orang memang bercita-cita (aspire) hendak menjadi tuan - tuan kecil, tuan sederhana ataupun tuan besar! Adalah amat mustahil jika semua orang Melayu di negara ini mengimpikan ingin menjadi tuan. Bukan sahaja mustahil dan tidak termasuk di akal, malah pasti tidak diizin dan direstui oleh Allah S.W.T., kerana lumrah/fitrahnya Tuhan menjadikan manusia ini, dan termasuklah orang Melayu, berbagai-bagai dan tidak seragam (heterogeneity). Ada sifat-sifat dan ciri-cirinya yang beraneka dan berlawanan - ada besar-kecil, tinggi-rendah, gemuk-kurus, hitam-putih, hina-mulia dan kaya-miskinnya, maka sebab itulah Islam mewajibkan umatnya supaya mengeluarkan zakat-fitrah, sedekah jariah, tolong-menolong dan saling sayang-menyayangi, agar mereka yang senang boleh membantu yang susah (ini amat jelas sekali bahawa wujudnya ketidak-samarataan, namun tetap ada hikmahnya).
Dalam konteks ini, secara lojiknya tidak mungkin semua orang Melayu (malah termasuklah juga suku kaum dan bangsa-bangsa lain di dunia ini), walau sehingga ke hari kiamat sekalipun, boleh menjadi tuan. Sedangkan di negara-negara barat yang begitu maju dan kononnya jaguh demokrasi, rakyat berkulit putih (dominant group) masih juga menjadi kuli - bekerja sebagai pencuci longkang, pencuci saluran pembuangan bahan-bahan kumbahan, tukang kebun, penggali parit, pemangkas pokok, pemandu kenderaan tuan punya orang berkulit hitam atau suku kaum Chicano! (jika di Amerika Syarikat).
Samalah juga dengan di negara kita, terdapat orang Melayu yang menjadi driver kepada tuan yang bukan Melayu, bekerja di ladang kelapa sawit kepunyaan orang Cina atau bekerja sebagai pembantu pekedai di kedai milik orang India, dan bermacam-macam lagi, kerana orang Melayu sendiri bukanlah makhluk ajaib (superman), yang pantang (taboo) untuk menduduki pada taraf atau status pekerjaan tertentu. Tetapi kita sebagai individu yang bermaruah, malah Islam juga akan mempersoalkan mengapa lebih kurang 40 - 50 tahun yang lampau orang Cina sahaja yang banyak dan lazimnya bekerja sebagai pengangkut najis (night soil careers), sedangkan pada masa ini boleh dikatakan orang Melayu pula yang banyak terlibat dalam pekerjaan yang tidak kurang juga sama tarafnya, seperti kerja-kerja mengangkut sampah-sarap, mencuci longkang, memotong rumput atau menyapu jalan dan lain-lain. Seolah-olah sebut sahaja Melayu, maka merekalah rata-rata pekerja dalam pekerjaan bergred rendah (odd jobs dan under-employed), yang juga akan menentukan taraf ekonomi dan pengenalan status sosial mereka.
Ideologi Ketuanan Melayu hendaklah difahami sebagai suatu TUNTUTAN untuk meletakkan orang Melayu, sebagai Penganut agama Islam, dan Pengamal budaya dan adat resam Melayu pada tempat dan tahap yang sepetutnya. Kita hendaklah jangan lari dari hakikat yang sebenarnya (jangan siapapun yang sengaja cuba memutar-belit atau mempolimikkan fakta) bahawa orang Melayu adalah penduduk/pemastautin asal (anak jati) di sebuah negara sahaja di dalam dunia ini yang bernama Tanah Melayu (sekarang ditukar kepada nama Malaysia) - dia tidak kata Tanah Keling atau Tanah Tionghua!
Maka jika begitulah keadaannya, inilah satu-satunya sahaja tanah pusaka tinggalan nenek-moyang orang Melayu - tidak dua dan tidak tiga! Mereka tidak ada negara induk atau negara kediaman alternatif (seperti penduduk Malaysia dan Thailand di Rantau Panjang dengan Pekan Golok umpamanya - mudah lari keluar-masuk) yang lain yang boleh accommodate mereka. Di sinilah sahaja ada satu bangsa yang menutur tiada lain hanya bahasa warisan mereka, Bahasa Melayu. Tetapi bagi suku kaum yang lain ada bangsanya di negara lain dan masing-masing bahasa pula ditutur di negara lain - yang bermakna ruang sosial (social milieu/settings) mereka sangat luas. Tetapi bagi orang Melayu, inilah sahaja satu-satunya negara tempat tumpah darah mereka, dan kepadanyalah seluruh jiwa raga dan taat setia ditumpukan (mereka tidak punya saudara-mara atau handai-taulan di Hongkong, Taipeh, Australia, Mumbai atau Amerika sebagai pendorong untuk menukar ‘kiblat’).
Ketuanan Melayu sebenarnya adalah mengenai status orang Melayu sebagai rakyat Bumiputera/Pribumi (bertutur dalam Bahasa Melayu dan mengamalkan adat resam budaya Melayu - namun malangnya ada “pendatang” yang secara kebetulannya tergolong dalam ketegori yang sama; maka bernasib baiklah mereka!), di negara ini sebagai satu trade off kepada mereka kaum bukan Melayu yang dengan sekelip mata pada waktu itu secara enbloc mendapat taraf kerakyatan Malaya sepenuhnya (inipun dicapai secara terang-terang di atas tipu muslihat British - saya akan jelaskan kemudian), dan mereka bukan Melayu di negeri-negeri Selat (Pulau Pinang, Melaka dan Singapura) pula diberi keistimewaan untuk memilih sama ada mahu terus menjadi rakyat Penjajah Inggeris atau rakyat negara baru mereka, Persekutuan Tanah Melayu (not as natural citizens).
Saya kira ini satu keutamaan yang luar biasa bagi mereka, dan ramai juga yang memilih untuk menjadi British Subjects dan masih tinggal di Malaysia sehingga sekarang (mungkin menjadi suatu kebanggaan bagi mereka)! Manakala orang Melayu tiada pilihan lain melainkan tetap menjadi anak pribumi negara ini dan di sinilah seluruh taat setia dan komitmen mereka ditumpahkan.
Saya harap tiada sesiapa pun yang akan lupa kepada fakta sejarah yang amat penting ini. Kalau Melayu dikatakan mudah lupa, maka dalam perkara crucial seperti ini orang bukan Melayu lebih-lebih lagi, dan sekali-kali jangan mudah lupa, atau sengaja hendak MELUPAKAN. Jangan cuba atau sengaja mempolitikkan soal isu Ketuanan Melayu, kerana orang Melayu TIDAK ingin melihat Hak Ketuanan Melayu menjadi mangsa tawar-menawar (bargaining) kepada sepak terajang permainan politik kotor yang didalangi oleh UMNO dan BN! (Banyak yang sudah hilang disebabkan bargaining yang lemah dan berat sebelah/lopsided). Kerana melihat UMNO lemah, maka orang bukan Melayu (ini adalah hakikat sejarah hitam 13 Mei, 1969) telah mula naik tocang dan menangguk di air keruh! Jangan ingat UMNO lemah, maka disangka mereka orang Melayu sudah lemah, kerana hakikatnya UMNO kini bukan lagi mewakili orang Melayu keseluruhannya, malah ramai ahli UMNO sekarang adalah sponsored membership (tanpa subsidi tak mungkin bilangan ahli UMNO seramai sekarang), di mana taat setia dan ‘kredibiliti’ mereka boleh dipertikaikan.
Orang bukan Melayu perlu banyak belajar dari Sejarah, tanpa memutar-belitkan fakta-fakta sahih yang membentuknya (Kerajaan Malaysia kalah kepada Singapura dalam tuntutan hak ke atas Pulau Batu Putih adalah disebabkan fakta Sejarah (walaupun fakta tersebut didapati sangat lemah tetapi tetap valid) - jadi jangan memperlekeh atau memandang remeh!). Pertama, mereka perlu mengetahui dan sedar tentang asal-usul institusi Ketuanan Melayu yang telah sedia wujud sebelum nenek moyang mereka ‘bertandang’ dan ‘berkampung’ di Alam Melayu lagi. Tegasnya, Ketuanan Melayu lahir beratus-ratus tahun yang lalu bersama institusi Kesultanan Melayu yang bertapak di Gugusan Kepulauan Melayu, khususnya di Melaka di bawah Kesultanan Melayu Melaka (Classical Malacca Sultanate). Ketuanan Melayu sebagai suatu ideologi ternyata mempunyai tradisi salasilah sejarahnya yang berkesinambungan.
Sejak tahun 1402 sehinggalah ke zaman-zaman berikutnya, orang-orang Melayu telah menerima dan akur bahawa Raja-Raja Melayu sebagai Payung yang menaungi rakyat, bangsa, agama dan negara yang berpaksikan falsafah, “Raja Adil Raja Disembah, Raja Zalim Raja Disanggah”. Institusi beraja ini diperkukuhkan lagi dengan adanya privilege Kekebalan (Immunity) Raja-Raja yang melindungi mereka dari “sentuhan” undang-undang, asalkan TIDAK melibatkan isu peribadi mereka. Pada zaman klasik, rakyat dan Kesultanan Melayu adalah satu kesatuan yang harmoni yang tidak dapat dipisahkan, yang membina Alam dan budaya Melayu. Maksudnya, Raja adalah Custodian masyarakat dan bangsa Melayu yang berperanan memelihara hak, kebajikan, kesejahteraan, agama, adat resam dan budaya mereka, di mana wujud semangat saling perlu-memerlukan, selagi Raja itu tidak zalim serta berlaku adil.
Kedua, kedatangan Penjajah di bumi Melaka yang dipelopori oleh Portugis pada tahun 1511 dan Belanda pada tahun 1641, dan seterusnya di Tanah Melayu oleh kuasa Inggeris/British pada 1874 - kesemuanya ini tidak menghakiskan institusi Kesultanan Melayu, walaupun pada umumnya sedikit sebanyak agak tergugat. Campur tangan (intervention) pertama Penjajah Inggeris di Tanah Melayu, khususnya di negeri-negeri Melayu, bermula di Negeri Perak pada 20 Januari 1874 setelah termetrainya Persetiaan Pangkor di antara Sultan Perak; Raja Abdullah dan Sir Andrew Clarke mewakili British, yang di antaranya mempersetujui bahawa, “ … The Sultan would receive a British Resident whose advice had to be sought and adhered to in all matters except those pertaining to the religion and customs of the Malays”.
Melalui Perjanjian ini walaupun kuasa Sultan didapati agak terhakis, tetapi Penjajah Inggeris tetap tidak “merompak” (plundered) kuasa Raja yang berhubung dengan agama Islam, adat resam dan budaya Melayu. Dengan lain perkataan, Penjajah Inggeris masih mengiktiraf dan menghormati Kedaulatan Raja-Raja Melayu di Negeri-Negeri Melayu Bersekutu dan Tidak Bersekutu (Federated and Unfederated Malay States). Mesti diingat bahawa Kedaulatan inilah yang melambangkan Hak Ketuanan Melayu, di mana Raja-Raja Melayu adalah Pelindungnya. Selagi wujud institusi Raja-Raja Melayu, maka selama itulah juga akan kekal institusi Ketuanan Melayu, yang pada akhirnya telah diperkasakan seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Negara yang menginsitutkan konsep sebuah negara merdeka yang berdaulat yang mempunyai Raja Berperlembagaan (Constitutional Monarchy). Seperti yang diketahui umum bahawa Perlembagaan Negara merakam, mentafsir dan menterjemahkan Kontrak Sosial (Social Contract) yang telah dipersetujui oleh kesemua pemimpin kaum yang merupakan Pengasas Kemerdekaan (the Founding Fathers).

Jika hendak dipersoalkan siapa yang lebih beruntung, dan siapa yang banyak bertolak ansur? Malah Kontrak Sosial yang telah dipersetujui itupun jika hendak dihalusi betul-betul, masih tetap berat sebelah, i.e., masih memihak kepada kaum bukan Melayu (ini bukan racist tetapi saya memohon rationality (level-headed thinking) semua pihak). Apa tidaknya? Apa yang diberikan kepada orang Melayu adalah hak yang memang sedia kala dipunyai/dimiliki oleh mereka, dan bukannya suatu yang baru. Sebagai contoh, agama Islam dijadikan agama rasmi negara, Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan (tetapi Bahasa Pengantar di sekolah-sekolah masih TIDAK SERAGAM, kerana terdapat Bahasa-Bahasa Pengantar Cina dan Tamil digunakan di SRJKC dan SRJKT.

Sejarah sendiri telah membuktikan kesilapan kita. Laporan Barnes (Barnes Report) 1951, walaupun difikir dan digubal semasa zaman Penjajahan Inggeris lagi, tetapi tetap menegaskan pertimbangan yang sangat bernas (well balanced), “ … was a British proposal put forward in 1951 to develop a National Education System in British Malaya”. Berikutnya wujudlah Education Ordinance 1952 yang terus mencadangkan, “ … developing a six-year primary education in Malay and English,” dan tidak disebutkan langsung lain-lain sekolah vernakular. Apa sebabnya? Kerana sejak seawal itu lagi pihak Inggeris (being very pragmatic, rational and far sighted) telah sedar dan nampak dengan jelas bahawa untuk menyatupadukan rakyat Malaya (kini Malaysia) melalui SALURAN pendidikan adalah tidak lain dan tidak bukan kecuali dengan menggunakan satu sistem pendidikan kebangsaan untuk semua, dengan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Pengantar (bukan seperti yang telah diubahsuaikan oleh Penyata Pelajaran Razak 1956 - it has been watered down!).

Dalam konteks ini jelas kelihatan bahawa pemimpin-pemimpin Melayu pada waktu itu telah banyak bertolak-ansur dan berkompromi kerana terlampau ghairah hendak mencapai Kemerdekaan Malaya. Sebab itulah faktor pendidikan dan persekolahan kebangsaan yang gagal menggunakan Bahasa Pengantar yang seragam di semua sekolah, dan diharap-harap dapat menjadi paksi ke arah pencapaian perpaduan rakyat di negara ini (sebagai matlamat utama dalam Laporan Pelajaran Razak 1956) tidak kesampaian. Seolah-olah (some what) Dasar Pendidikan Negara kita kini masih tetap di takok lama yang dianggap mengamal dasar muslihat Penjajah Inggeris, pecah dan perintah.
Marilah sama-sama kita tinjau apa yang berlaku di Indonesia. Pada 28 Oktober 1928, Soempah Pemoeda (Sumpah Pemuda) Indonesia telah dideklamasikan sebagai asas penggerak pelaksanaan Bahasa Indonesia sebagai alat perpaduan negara, berdasar kepada semangat SUMPAHNYA, i.e., satu tanah air dan satu bahasa. Kejayaan pelaksanaan Bahasa Indonesia adalah fenomenal yang ternyata membuktikan bahawa ianya sebagai alat penyatupaduan rakyat dan negara yang paling berkesan. Sebagai contoh, Irian Jaya yang baru sahaja menjadi sebahagian daripada Wilayah Republik Indonesia tetapi penduduknya telah dapat menguasai Bahasa Indonesia dalam masa yang sangat singkat, dan lebih menakjubkan lagi tanpa dicemari pelat (accent) bahasa-bahasa daerah atau kesukuan.
Tetapi kita di Malaysia walaupun sudah 51 tahun merdeka (dan dasar bahasa telah wujud sejak 1956), namun masih terdapat ramai rakyatnya masih menutur Bahasa Melayu dengan “telor” (accent) Bahasa Ibunda masing-masing yang sangat tebal. Amalan dasar satu negara, satu bahasa di Indonesia, dan dengan strategi yang TEGAS dan tidak berdolak-dalik (flip-flop) telah berjaya membina satu rupa bangsa yang kukuh bersatupadu, walaupun Indonesia mempunyai rakyat yang terdiri daripada ratusan suku kaum yang berbeza-beza.
Tak perlu ditanya, saya kira semua pihak telah sedia maklum di mana salah-silapya pelaksanaan Bahasa Melayu di negara ini yang masih gagal untuk menyatupadukan rakyatnya yang hanya beberapa kaum sahaja! - orang Cina bertutur Bahasa Melayu bukan seperti orang Malaysia, tetapi bunyinya seperti orang Cina juga! Masya-Allah! Saya menyeru kepada para pendidik bahasa (munsyi/mahaguru) di Malaysia agar banyak belajar dari kejayaan pendidik bahasa di Indonesia.
Artikel 153 (peruntukan yang paling banyak dipertikaikan) dari Perlembagaan Negara secara langsung dan tidak langsung memelihara kepentingan Ideologi Ketuanan Melayu yang sekaligus merealisasikan hasrat, cita-cita dan persetujuan yang telah dicapai dalam Kontrak Sosial (Social Contract). Di antara intipati Kontrak Sosial tersebut ialah, “ … providing the Indians and Chinese with Citizenship in exchange for the Malays’ special rights or Ketuanan Melayu”. Inilah yang saya sebut di awal tadi sebagai satu trade off (yang merupakan satu pengorbanan yang paling besar di pihak orang Melayu, yang rakyat bukan Melayu jangan mudah lupa. Jika mereka benar-benar menghayati pengorbanan ini nescaya mereka tidak akan mempertikaikan lagi isu hak keistimewaan orang Melayu. Andainya hendak dipersalahkan, maka nenek moyang merekalah yang patut disalahkan, dan bukannya Ideologi Ketuanan Melayu!).
Artikel 153 juga diakui oleh SEMUA sebagai satu-satunya saluran untuk membela nasib rakyat keturunan Melayu (agar peristiwa hitam 13 Mei 1969 tidak berulang lagi) bagi meningkatkan taraf ekonomi mereka, terutama penduduk miskin di kawasan luar bandar dengan mengadakan beberapa headstart programmes. Peruntukan ini sangat prihatin serta memberi penekanan khusus kepada aspek ekonomi dan taraf hidup orang Melayu. Usaha positif yang dirangsangkan oleh peruntukan ini juga telah berjaya mencetuskan beberapa Dasar Kerajaan yang menjurus kepada wujudnya Affirmative Action. Di antaranya yang paling signifikan dan berkesan ialah Dasar Ekonomi Baru (NEP) 1970 yang bertujuan untuk membasmi kemiskinan melalui matlamat serampang dua matanya.
Secara khusus ianya bertujuan untuk mengimbangi (to redress socio-economic imbalance between races) kedudukan/taraf ekonomi rakyat di antara mereka yang berada dan yang kurang berada dengan menghapuskan Pengenalan Kaum melalui kegiatan ekonomi masing-masing - Melayu jelas sekali dikenali sebagai petani dan nelayan di pesisiran pantai, Cina sebagai pedagang dalam bidang komersil, dan orang India adalah penghuni di estet-estet getah dan kelapa sawit. Tegasnya, masyarakat Melayu pada tahun 1970 hanya memiliki 4.0 peratus sahaja daripada ekonomi negara, dan diharap dapat mencapai penguasaan 30.0 peratus di sepanjang pelaksanaan program Dasar Ekonomi Baru (DEB).
Justeru selain dari faktor sejarah asal usulnya, Ketuanan Melayu lahir (came into being) dari daya usaha tawar-menawar (bargaining) yang dikompromi oleh kedua-dua belah pihak; orang Melayu dan bukan Melayu. Ternyata bahawa kedua-dua pihak telah rela engaged dalam satu sincere mutual agreement. Maka dalam konteks ini saya penuh yakin bahawa tidak timbul langsung soal tipu-menipu, paksa-memaksa, tindas-menindas atau aniaya-menganiayai ataupun preferring one ethnic group against the other. Justeru mengapa pula baru kini dipersoalkan, seolah-olah seperti rumah siap, pahat berbunyi, dan persetujuan diberi tetapi ditarik balik (buruk siku). Sikap seperti ini bukan sahaja tidak gentleman, malah secara terang-terang membuktikan peribadi dan sentimen ketidak-jujuran (insincerity) mereka (pihak yang membangkitkan isu Ketuanan Melayu).

AR Munsyi
Disember 2008

POLITIK WANG DALAM UMNO

Menyahut Cetusan Tun Dr. Mahathir Mohamed


Saya ingin membuka dan memulakan perbincangan (discourse) ini dengan merujuk kepada tajuk puisi Tun Dr. Mahathir Bin Mohamed, mantan Perdana Menteri Malaysia, “MELAYU MUDAH LUPA”, yang dideklamasinya di akhir ucapan penggulungan pada Perhimpunan Agung UMNO di Pusat Dagagan Dunia Putra pada 23 Jun 2001. Tajuk puisi ini amat signifikan dan sangat relevan dalam konteks penulisan saya mengenai Politik Wang dalam UMNO, yang begitu lumrah diperlakukan sebagai amalan khurafat oleh para pemimpin UMNO di semua peringkat (paling hina dan memalukan adalah mereka di peringkat atasan parti - higher echelon). Seperti kata peribahasa Melayu, jika sungai keruh di hulu, maka akan keruhlah juga di hilir.

Politik Wang UMNO bukan suatu rahsia lagi, tetapi bagaikan bangkai gajah yang tidak mungkin ditutup dengan nyiru, yang berlaku dengan berleluasa dan sudah gah di seluruh negara - bermula dari kalangan jerung sehinggalah sampai ke anak seluang dan ikan bilis (iaitu termasuk Pemberi dan Penerima). Selain dari saya cuba correlate fenomena Politik Wang dengan Melayu Mudah Lupa, ingin juga saya kaitkan dengan satu lagi faktor penting, iaitu Sejarah Perkembangan/Pertumbuhan UMNO sebagai sebuah parti politik, yang dahulunya lebih dikenali dengan istilah Parti Siasah.

Menurut Tun banyak perkara yang Melayu Mudah Lupa yang menyebabkan berlakunya kegagalan dan ketinggalan mereka dalam pelbagai bidang persaingan, berbanding dengan kaum-kaum lain, terutama rakyat dari keturunan Cina. Mudah lupa dalam erti kata yang lebih mendalam mungkin juga boleh dimaksudkan sebagai tidak tahu mengenang jasa atau budi terhadap mereka yang pernah berjasa dan berbudi. Tetapi bagi saya, satu lagi yang amat penting sekali, iaitu Melayu, terutama sekali pemimpin-pemimpin UMNO dan pengikut-pengikutnya, mudah lupa kepada sejarah perkembangan dan jatuh-bangunnya parti dan pejuang awal UMNO itu sendiri. Mungkin ada yang ingin menidakkannya, tetapi kata saya, sekadar mengetahui sahaja (just to know) tetapi tidak menghayatinya (internalizing it) belumlah cukup dan tidak bermakna juga.

Maksud penghayatan di sini bererti sejauh manakah wujudnya kesedaran, keinsafan dan ketulusan di kalangan pemimpin UMNO yang menjadikan mereka begitu JIJIK (keazaman untuk menolak) kepada Politik Wang yang disalurkan melalui pelbagai kaedah rasuah (pemberian kain palikat Cap Gajah, kain telekung, kopiah putih, sejadah/tasbih, wang-ringgit, makan roti canai di kedai Mamak Maidin etc., lawatan ke luar negara, Pak Menteri ke atas (mungkin juga Timbalan Presiden dan Presiden UMNO) dengan sewenang-wenang menggunakan helikopter Kerajaan untuk membawa konco-konco politik dan pegawai-pegawainya ke Indonesia, Bla! Bla!…. )? Pernah saya berjumpa sepasang Hamba Allah di Makkah al-Mukaramah kerana dapat menunaikan
rukun haji dengan percuma sebagai sogokan/ganjaran membantu berkempen dalam pilihanraya umum bagi Parti UMNO (dia tidak segan-silu bercerita membuka pekung di dada, malah berbangga!).
Mungkin juga ada yang mengetahui sejarah, tetapi malangnya mereka mudah lupa ataupun sengaja melupakan - tidak juga membawa apa-apa makna. Maka proses Peringatan (reminder) kepada sejarah perjuangan UMNO itu seharusnya berlaku secara
berterusan (on-going dan continuous) tanpa henti-henti (seperti mengadakan kursus/wacana dengan kerjasama Biro Tatanegara dan lain-lain agensi), sama seperti dalam wadah perjuangan Revolusi Sosialis, di mana gerakan revolusi itu tidak boleh berhenti dan mesti berkesinambungan. Jika berhenti bererti gagal atau mundur ke belakang, maka pendokong dan pejuang Sosialis akan bertukar menjadi Bourjua (Bourgeoisie), kerana manusia pejuang itu lambat-laun dan lama kelamaan akan hanyut dalam kelekaan dan lalai (complacency) sehingga mereka lupa kepada matlamat asal perjuangan. Malah sesudah mencapai kemewahan, lazimnya seseorang itu akan lalai. Justeru orang UMNO juga akan lalai jika tidak dikejutkan dari lamunan mimpi yang dibelai 1001 khayalan.

Mereka dalam UMNO seharusnya mengambil iktibar atau contoh-teladan dari tradisi amalan yang terdapat dalam Budaya Pengurusan Bisnes (Budaya Korporat), terutama dalam konteks Pengamal-pengamalnya di Amerika Syarikat. Setiap organisasi atau korperasi bisnes (business corporation) kebanyakannya bermula dengan idea, wawasan dan hala tuju yang dicetuskan oleh segelintir individu yang dikenali sebagai ‘the Founding Fathers’. Mereka inilah tokoh pemimpin awal/asal yang mengasaskan organisasi berkenaan, bermula dari sekala kecil (humble beginning) dan seterusnya bercambah dan berkembang sehingga menjadi sebuah badan korporat gergasi (multi-national organisation).

Pemikiran, wawasan dan falsafah asal para Pengasas inilah yang menjadi tunjang dan intipati budaya kerja dalam organisasi tersebut (walaupun setelah ianya kemudian berkembang ke seluruh dunia). Sehingga ada kalanya bahawa tempat atau bangunan (historic locations) di mana mereka mula berbincang untuk mencetuskan pemikiran bagi penubuhan organisasi itu dikekalkan (preserve) sebagai artifak sejarah. Malah tempat tersebut bukan sahaja dibangga tetapi menjadi sumber inspirasi dan aset terpenting untuk memperkasa semangat bekerja bagi merangsang kejayaan yang berterusan.

Sebagai contoh, pekerja di cawangan dari syarikat yang sama yang berada di seberang laut (katakanlah umpamanya seperti Syarikat Kentucky Fried Chicken) dibawa ke syarikat induk hanya semata-mata untuk mengetahui tempat bekerja yang asal, selain menginsafi dan menyedarkan mereka tentang visi, misi dan etika kerja sewaktu ianya mula-mula ditubuhkan dahulu (a tour of the place). Semasa di sana mereka akan diberi taklimat oleh pihak Ibu Pejabat dan mengadakan pelbagai aktiviti bagi mengingatkan kembali rerospektif masa silam. Apabila sejarah pemimpin asal ini diingati (constant reminder), maka dengan sendirinya semangat juang, sikap bekerja, teras budaya, gaya
kepimpinan dan cara bekerja mereka kekal dicontohi dan diikuti (emulate). Maka tradisi dan ‘working ethos’ organisasi itu akan terus menyemarak.

Saya difahamkan bahawa telah wujud muzium UMNO (mungkin matlamatnya berbeza) yang menyimpan pelbagai khazanah pusaka dan warisan UMNO sepanjang pengwujudannya sejak tahun 1946 sehinggalah sekarang. Namun wujud sahaja tidak ada
maknanya. Yang penting ialah muzium itu sepatutnya berfungsi dan berperanan untuk mendidik dan membudaya ahli-ahli UMNO di seluruh negara secara yang paling
berkesan. Kalau wujud sebagai gajah putih dan artifak yang disimpan hanya dijadikan bahan tontonan semata-mata tidak berfaedah juga. Peranan muzium UMNO hendaklah beralih dari yang statik (fungsinya yang beku dan kaku) kepada yang lebih dinamik dan
proaktif untuk ‘reaching out to people’ dengan seluas-luasnya kepada jutaan ahli UMNO yang berselerak di seluruh pelusuk tanah air.

Muzium UMNO perlu mengikut jejak langkah amalan sektor korporat yang berjaya menjadikan input sejarah untuk memperkasakan lagi organisasi mereka. Muzium yang berkesan ialah orang tidak perlu datang dan bersusah payah pergi ke Melaka (umpamanya) untuk melihat artifak mengenai UMNO, tetapi terdapat banyak cara (apatah lagi dengan adanya teknologi ICT moden dan canggih – state of the art technology) di mana muzium tersebut boleh datang ke pangkuan (literally) ahli-ahli UMNO.

Saya berharap agar anekdote ringkas ini dapat diterima sebagai satu model amalan oleh pemimpin dan ahli UMNO. Sebagai orang Melayu dan Islam menghormati pemimpin/ketua adalah dituntut. Maksudnya, menghormati pemimpin ganjarannya pahala. Justeru mentaati mereka sebagai Ulul Amri janjinya syurga, Insya-Allah. Maka mengenang dan menyorot kembali sejarah tokoh pemimpin masa lampau seperti Allahyarham YTM. Tunku Abdul Rahman Putra al-Haj, Dato’ Onn Jaafar, Tun Haji Abdul Razak, Tun Hussein Onn, Tun Dr. Ismail, Tun Ghaffar Baba dan Tun Dr. Mahathir Mohamed bukanlah bertujuan untuk glorify atau mendewa-dewakan mereka, tetapi kita ingin menghayati semangat, falsafah dan tradisi perjuangan mereka. Budaya, disiplin kerja dan kegigihan mereka sebagai pemimpin politik dan negara bukanlah ditentu atau dicorakkan oleh zaman mereka tetapi yang penting adalah mengetahui apakah kualiti kekuatan dalaman (internal strength/SQ) dan semangat dinamisme (paksi keimanan) yang tersirat sehingga menjadikan mereka pemimpin/ketua yang begitu hebat serta disegani. Selain mempelajari dari pemimpin atasan, kita juga jangan lupa mempelajari dari pemimpin bawahan (kerana politik Malaysia adalah politik grassroot), i.e., mereka di peringkat akar umbi (supaya boleh dipelajari oleh pihak Pemberi dan Penerima Rasuah Politik Wang), yang saya kira jika jernih di hulu, maka jernihlah juga di hilir.

Menegenali sejarah boleh menimbulkan keinsafan yang seterusnya boleh menyedarkan ahli-ahli UMNO tentang betapa buruk dan hinanya padah politik wang. Di samping merosakkan diri sendiri, mereka juga adalah perosak bangsa, negara dan agama - yang juga agenda utama yang diperjuangkan oleh UMNO sepanjang masa. Maka dalam sejarah pemimpin bawahan (meminjam istilah Sosiologi dikatakan ‘little people’),
sukacita saya hendak berkongsi pandangan dengan para pembaca dengan merujuk kepada pengorbanan besar dan tiada ternilanya yang disumbangkan oleh mereka yang sebelumnya, sebagai jasa bakti yang paling berharga kepada UMNO.

Kita kembali ke era pertengahan tahun-tahun 1950an di mana zaman UMNO mula bertatih. Bapa saudara saya sejak seawal itu lagi sudah menjawat jawatan Ketua
Cawangan UMNO (tiada sebarang bayaran atau imbuhan diberi walau se sen pun) di salah sebuah cawangan di negeri Kedah. Jawatan tersebut terus disandangnya selama hampir tiga-suku daripada jumlah usianya (sekarang berumur hampir 80 tahun). Katanya UMNO dahulu sangat jauh bezanya dengan UMNO sekarang yang meliputi banyak hal.

Tahun-tahun 1950an menyaksikan senario politik di semua peringkat yang mula dirintis oleh mereka yang tidak BERKEPENTINGAN dengan berpegang teguh kepada prinsip ‘apa yang mereka boleh buat kepada parti, dan bukannya apa mereka boleh dapat darinya’ (lebih kurang begitulah maksud sebenarnya). Pada waktu itu, menurut bapa saudara saya, jika mereka keluar mesyuarat parti atau berkempen berhari-hari, hotel yang diduduki hanyalah bertaraf (kosnya) di antara RM10.00 – RM15.00 sahaja semalam (itupun berkongsi penginapan), ataupun menginap di ramshackle Rumah Rehat Kerajaan (Government Rest House). Tidak ada kemudahan berdobi, baju dan seluar dalam, dan kain palikat dibasuh sendiri dan digantung pada daun kipas (fan blades) untuk dipusing supaya lekas kering. Bagi mereka yang malas, ‘benda-benda’ itu tidaklah dibasuh berhari-hari sehingga berbau busuk-hapak - itulah gambaran pengorbanan yang tidak mementingkan diri sendiri, kecuali kepentingan dan kesejahteraan parti.

Menurutnya lagi, jawatan Ketua Cawangan dan Ketua Bahagian, dan termasuk Ahli-ahli Jawatankuasa yang lain amat jarang direbut dan dipertandingkan, lebih-lebih lagi bagi jawatan Ketua Cawangan, kerana tidak ada calon yang berminat. Kadang-kadang mesyuarat Cawangan atau Bahagian boleh menimbulkan masalah besar pula kerana masing-masing menepis dan menolak untuk menjadi Ketua. Menjadi Ketua bukan lagi satu keistimewaan (privileged), malah suatu beban dan bala, seperti kata orang tiada beban maka batu digalas! Tegasnya orang tidak suka masuk UMNO kerana tiada untung yang masuk tetapi, banyak yang KELUAR.

Bukannya seperti sekarang semua orang lebih daripada berminat (kerana ada udang di sebalik batu); berebut-rebut hendak bertanding, hendak berlawan, sehingga timbullah amalan songsang lobi-melobi, kempen-mengempen, fitnah-memfitnah, tohmah-mentohmah, bomoh-membomoh dan yang lebih malang sekali sogok-menyogok dan rasuah-merasuah (sehinggalah mereka yang berada dalam Kerajaan dan memegang jawatan penting sanggup mengabaikan tanggungjawab kerja masing-masing kerana mengutamakan berkempen - sama ada untuk diri sendiri atau semasa pilihanraya). Seolah-olah bertanding jawatan Ketua Cawangan atau Ketua Bahagian itu seperti hendak merebut jawatan Setiausaha Parlimen, Timbalan Menteri, malah jawatan Menteri sendiri. Begitu sekali hebatnya!

Mengapa terjadinya demikian, masakan burung Tempua bersarang rendah? Jawapannya berkisar pada isu UNTUNG dan LABANYA. Kalau dapat jadi Ketua Bahagian atau paling buruk Ketua Pemuda Bahagian bererti sudah seperti ‘King’ - sudah dapat menguasai satu kawasan pilihanraya (constituency), dan bayangkanlah sudah berapa banyak peluang keemasan untuk mendapat projek ataupun peluang-peluang penajaan dari taukey-taukey besar dan kaya, atau kemungkinan mendapat konsesi balak atau kawasan tanah kosong (tanah Kerajaan) untuk diubah syarat/titel kepada kawasan perumahan dan
perindustrian (masalah ‘conversion’ tidak timbul langsung kerana banyak jaringan kontak di daerah, negeri dan federal), dan boleh dijual dengan harga yang berlipat ganda (kalau
tidak mana mungkin orang nombor satu di negeri boleh jadi multi-jutawan dalam ‘sekelip mata’ sahaja - bukan semua, hanya yang merasuah sahaja).

Mata pena mereka yang berjawatan dalam UMNO ini juga sangat tajam - boleh rekomen atau membuat prakuan yang boleh mendapat sumber sumbangan sebagai balasan, sama ada kecil atau besar. Pendek kata banyak saluran dan caranya boleh masuk
‘rezeki’ - itulah sebabnya pertandingan sengit (a matter of life and death) menjadi suatu yang sangat lumrah di kalangan pemimpin UMNO.

Seperti disebutkan tadi, pada masa dahulu menjadi Ketua Cawangan atau Bahagian bererti menggalas beban. Apa tidaknya? Mereka berfungsi dan berperanan lebih daripada Tok Penghulu atau Tok Penggawa (sekurang-kurangnya mereka ini bergaji tetap). Malah Tok Penghulu hanya tertakluk kepada Mukimnya sahaja, tetapi Ketua Cawangan atau Ketua Bahagian meliputi kawasan yang jauh lebih luas, sementara imbuhan tidak diberi. Jadi tunggak tugas dan perkhidmatan seorang Ketua pada masa dahulu hanyalah semata-mata sukarela (volunteerism), i.e., berkorban hanyalah kerana Allah, tanpa mengharapkan apa jua ganjaran dalam bentuk wang-ringgit atau lain-lain faedah atau pulangan kebendaan.

Sebagai Ketua Cawangan, menurut pengalaman bapa saudara saya, orang datang ke rumahnya tidak kira siang dan malam (maklumlah sudah jadi seorang ‘public figure’ secara kecil-kecilan) - tak tentu masa! Tugas isterinya pula selain sebagai suri rumah (walaupun dia seorang guru Kelas Dewasa mengajar jahitan, namun ianya tidak memerlukan sepenuh masa), kerjanya adalah memasak air teh dan kopi ‘O’ (nak pakai susu tidak mampu) untuk tetamu-tetamu yang datang. Mereka yang datang membawa bersamanya masalah, rungutan, rayuan, meminta pertolongan dan surat perakuan/sokongan, dan berbagai-bagai lagi (maklumlah sudah jadi mini wakil rakyat). Justeru itu, pengorbanan bapa saudara saya suami isteri bukan hanya sekadar masa bahkan juga tenaga, kesenangan hidup, privacy, kemesraan bersama ahli keluarga dan wang ringgit.

Pada ketika-ketika yang bernasib baik, para tetamu yang datang mungkin dapat dijamu juadah cucur kodok (jemput-jemput pisang) kerana bapa saudara saya adalah pelanggan tetap sebagai pembeli pisang Awak Legor masak ranum (dua-tiga hari lagi mungkin
pekedai akan membuangnya) - itu sahaja yang termampunya kerana harganya sangat murah! Semuanya ini dibiayai sendiri tanpa sebarang pulangan (economic return) - itu sebabnya semua orang menolak apabila berlaku pemilihan jawatan UMNO kerana tidak ada apa yang dapat. Hanya mereka yang benar-benar ikhlas dan sanggup berkorban, dan rela berkhidmat kerana Allah sahaja (maksudnya gratis) yang mampu memikul jawatan parti. Mengapa perlunya menggalas biawak busuk kerana pada waktu itu hendak menyara hidup keluarga sendiri pun susah? Berlainan dengan sekarang, wang yang masuk jauh lebih besar, lebih deras dan lebih lumayan dari yang berbelanja. Dalam banyak hal, tidak perlu langsung mengeluarkan wang saku sebab banyak pihak yang akan menaja (sponsor), tetapi tentunya dengan bersyarat.
Dari pengalaman bapa saudara saya sebagai Ketua Cawangan berpuluh tahun lamanya sudah memadai untuk memberi suatu gambaran bahawa betapa semangat juang
pendokong parti masa dahulu berbeza dengan pewaris sekarang yang mereka terima di atas dulang perak (silver platter). Bila keadaan ini wujud, maka berlakulah fenomena Melayu Mudah Lupa. Jika hendak diambil perbandingan, sama seperti status nilai
kemerdekaan negara kita, berapa kerat sangat rakyat Malaysia yang benar-banar Patriotik untuk mengenang dan mengiktiraf jasa dan pengorbanan ibu-bapa, datuk-nenek dan para pemimpin mereka di masa lampau yang bersusah payah menuntut kemerdekaan negara. Tetapi oleh kerana tiadanya peristiwa getir yang menyebabkan pertumpahan darah (kata Tunku Abdul Rahman, malah terlalu sangat dibangga-bangganya, dengan ketajaman mata pena sahaja), seperti Indonesia menentang penjajah Belanda dahulu, maka rakyat Malaysia dan orang Melayu khususnya mudah lupa (di atas kesilapan itu, maka kita baru kini terkocoh-kocoh hendak merancang semula syllabus mata pelajaran Sejarah).

Lihatlah betapa serius dan meriahnya rakyat Indonesia menyambut hari ulang tahun kemerdekaan negara mereka berbanding dengan Malaysia. Jika pemimpin masa kini boleh mengambil iktibar dari ‘kesengsaraan’ pemimpin zaman dahulu, maka setidak-tidaknya akan timbul rasa keinsafan - ke mana dan di mana mereka sudah terlajak dan terlanjur? Dengan menoleh/melihat ke belakang, tidak bererti kita mundur, tetapi detik-detik sejarah masa lampau yang diwarisi turun-temurun boleh dijadikan sumber yang bermakna untuk bermuhasabah diri, dan melihat ke dalam diri sendiri ‘inside-out.’ - kata orang banyak faedahnya jika belajar dari sejarah.

Saya amat bersetuju dengan hakikat bahawa politik wang akan meruntuh dan meghancur-leburkan UMNO. Tetapi bagaimana hendak menghapuskannya apabila puncanya sudah berakar umbi dan berpasak teguh di dalam UMNO sendiri, i.e., ramai di kalangan pemimpinnya yang berpegaruh turut sama terlibat (contohnya seorang calon Naib Presiden telah dihukum, tetapi sebenarnya ramai lagi yang boleh dihukum namun kata mereka memadailah seorang sahaja dahulu sebagai langkah deterrent), dan termasuklah pemimpin atasan yang masih berada dalam UMNO dan memegang jawatan-jawatan penting lagi strategik?

Bapa saudara saya agak bernasib baik kerana secara kebetulan pula berkhidmat sebagai Guru Kelas Dewasa yang mengajar pengetahuan agama Islam di kawasan luar bandar.
Kumpulan sasarannya adalah penduduk-penduduk kampung dan desa, di mana pengajaran agama merupakan suatu yang sangat diminati dan amat besar pengaruhnya (soft spot). Peranannya sebagai Guru Dewasa membuka ruang dan peluang yang seluas-luasnya bagi beliau untuk berinteraksi serta mempengaruhi mereka bakal-bakal pengundi di luar-luar bandar (reaching-out initiatives), yang seterusnya membantu dalam pergerakan UMNO (bermakna kontaknya dengan ‘rakyat’ di luar bandar adalah sepanjang masa dan bukannya ‘seasonal.’ Inilah juga sebenarnya asas kejayaan Parti pembangkang PAS kerana mereka berkempen boleh dikatakan sepanjang masa melalui ceramah/syarahan agama di merata-rata, sedangkan UMNO hanya berkempen (itu pun bukan topik yang mampu menambat/mengikat hati nurani orang kampung seperti isu agama. Tidak dinafikan bahawa terdapat pemimpin agama dari kalangan pemimpin UMNO yang bercakap, tetapi mereka ini telah dicop sebagai corrupted religious leaders - siapa hendak percaya!) pada pilihanraya umum/kecil sahaja, atau mengumumkan kejayaan projek besar-besaran yang pada dasarnya menguntungkan orang Melayu yang kaya raya di bandar dan bukannya golongan Murhain di kampung).

Apatah lagi KEMAS adalah tulang belakang Kerajaan dan agensi utama untuk menggerakkan kegiatan-kegiatan kepartian. Ianya juga merupakan jentera terpenting yang membantu dan menyokong UMNO pada waktu berlangsungnya setiap Pilihanraya Umum serta menjamin kejayaan UMNO dan Barisan Nasional (BN). Jawatannya yang sangat strategik juga menyebabkan bapa saudara saya menjadi penyumbang yang berkesan dan pekerja parti di peringkat akar umbi yang paling relevan kepada UMNO, terutama kepada Cawangan dan Bahagiannya untuk memenangi Pilihanraya Umum, tanpa terlibat dalam kegiatan menyogok dan merasuah.

Begitulah corat-coret penglibatan seorang pemimpin kerdil (yang sekarang tiada Pembelaan) di peringkat cawangan yang tekun bergerak di atas paksi kejujuran dan keikhlasan memimpin cawangannya berpuluh tahun, menuju kejayaan demi kejayaan dengan penuh bermaruah dan berintegriti. Walaupun sebagai Guru Dewasa yang pendapatannya tidaklah seberapa, namun bapa saudara saya tetap dapat bergerak dengan megah (walking tall kata orang) sebagai pendokong parti UMNO, tanpa tunduk kepada amalan-amalan songsang yang tidak bermoral dan tidak bermaruah!. Jika tidak, orang yang begaji kecil seperti beliau inilah yang paling awal dan yang pertama untuk menerima rasuah dan sogokan serta mudah digula-gula. Benteng utama bagi pemimpin terdahulu adalah sikap, will power dan keluhuran hati nurani (EQ dan SQ, carilah apa maknanya) mereka. Namun pokok pangkalnya ialah TIDAK WUJUD budaya politik wang pada ketika itu, kerana para pemimpin tidak bersikap gelojoh, dan tidak sanggup menggadai maruah dan nilai diri demi untuk hidup mewah dan bersenang-lenang bergelar jutawan, semata-mata melalui status kedudukan mereka dan kegiatan kepartian atau berpolitik (pseudo-politic).

Dalam isu Politik Wang Dalam UMNO masakini, saya penuh yakin bahawa bapa saudara saya yang mewakili rakan-rakan seperjuangan politik yang seangkatan dengannya, yang berjaya mempamerkan satu ‘track record’ yang bersih dari gejala tersebut, boleh dijadikan suatu ‘role model’ untuk diikuti oleh para pemimpin sekarang. Jika dia boleh mengapa ahli-ahli UMNO kini tidak boleh? Yang penting kita mesti sanggup kembali ke pangkal jalan, kepada matlamat asal dan hakikat tulen perjuangan UMNO (back to basics), seperti yang diasaskan oleh Founding Fathersnya dahulu. Walau melangit sekalipun kejayaan UMNO setakat ini, namun kaki mesti berjejak teguh di bumi. Itulah pentingnya mengingati dan terus mengingati asal usul sejarah perkembangan UMNO agar terpahat satu keinsafan yang benar-benar mendalam.

Masalah terbesar dalam UMNO adalah persepsi mereka yang “berangan-angan besar” yang menyertai Parti UMNO, terutama dari kalangan ahli-ahli yang memasukinya yang terus beraspirasi (aspire) untuk menjadi ketua/pemimpin - tak kiralah sama ada di peringkat Cawangan, Bahagian mahupun Sayap Pemuda dan Puteri. Lebih-lebih lagi
mereka di kalangan anak-anak muda (green horns), sama ada yang menuntut di IPT di dalam negeri atau di seberang laut. Lebih ghairah lagi adalah mereka yang berpeluang menuntut/mengaji di UK, Amerika Syarikat ataupun di Indonesia, seolah-olah apabila berada di sana mata mereka semakin terbuka (seen beyond the horizon) dan pandangan hidup (worldview) mereka juga kian melebar – kononnya telah ‘mendapat satu lesen’ bagi melayakkan mereka untuk memimpin dalam parti. Saya pernah mengenali beberapa penuntut remaja di Los Angeles, California yang bercakap tidak lain melainkan hendak menjadi pemimpin politik UMNO apabila pulang ke tanah air kelak, tetapi belajarnya tidak seberapa (tidak tahu juga entah mereka ini betul-betul belajar, entah tidak!). Ada seorang yang saya tengok dia bekerja sebagai pemandu van di Pejabat Konsol Jeneral (CJ) di Los Angeles. Yang amat peleknya tu, seolah-olah pihak Pejabat Konsol Jeneral
memberi galakan dan rangsangan (condone) pula kepada penuntut yang tidak gemar belajar supaya terus tidak belajar. Kini pemandu van tersebut sudah menjadi seorang Yang Berhormat di negeri Pahang Darul Makmur yang mula bertanding dan menang di atas tiket Pemuda UMNO - itulah kualiti wakil rakyat yang mampu kita ada!

Masuk UMNO sama seperti memasuki Skim Cepat Kaya Pak (Man Telo). Begitulah kata orang dan persepsi ahli UMNO yang masuk dan berjaya menjadi pemimpin parti. Jika Ketua Bahagian, besar kemungkinannya ia dapat jadi Yang Berhormat, dan kalau bernasib baik lagi dapat menyandang jawatan-jawatan tertentu dalam Kerajaan, yang gaji bulanannya tentu jauh lebih lumayan. Apatah lagi kalau ‘kena loteri’, terus jadi Timbalan Menteri atau Menteri ataupun mengetuai syarikat-syarikat gergasi GLC. Kalau masuk UMNO, ‘angan-angan besar’ bukan hanya tinggal angan-angan kosong sahaja,
namun telah tebukti akan menjadi kenyataan (probability/level of confidence (statistics?) untuk strike sangat tinggi).

Sekarang bukan seperti dahulu, tidak payah menunggu lama. Masuk Pergerakan Pemuda atau Puteri UMNO, maka sekejap sahaja sudah dapat jadi Menteri atau paling buruk jadi Timbalan Menteri atau Pengerusi Perbadanan/Badan Berkanun Kerajaan, dan terus mendapat gelaran Dato’. Itu belum termasuk lagi harapan untuk mendapat projek yang besar-besar, commission, kick-back, wang imbuhan, konsesi balak dan lain-lain konsesi - tak tahulah banyak lagi peluang yang terbuka! Bila ada kuasa semua kaya! Bila ada authority semuanya jadi! Kerana politik itu adalah kuasa, tetapi amat malang sekali kerana ramai yang tidak Amanah sehingga sanggup menyalah-gunakan kuasa demi mengisi tembolok sendiri. Pendek kata, banyak ruang dan peluang yang terbuka luas jika berada di dalam UMNO, dan lebih-lebih lagi apabila menjadi pemimpin.

Saya ingin berkongsi kisah dengan para pembaca mengenai satu penipuan terang-terangan (broad day light scam) yang telah berlaku ke atas seorang rakan saya, seorang kontraktor. Beliau telah diperkenal dan ditemui dengan seorang Ketua Bahagian UMNO di sebuah negeri di Utara Malaysia oleh seorang orang tengah. Ketua Bahagian tersebut telah mendapat kontrak membina bangunan tambahan di sebuah sekolah menengah di dalam kawasan pilihanrayanya (mungkin sebagai hadiah/ganjaran politik), yang
ditawarkan (awarded) oleh JKR (Kerajaan). Seperti biasa beliau bukanlah seorang kontraktor, malah tidak adapun lesen pemaju (sekurang-kurangnya kelas ‘F’), dan apatah lagi ia tidak ada langsung pengalaman membuat kerja-keja kontrak untuk membina bangunan, dan sama sekali tidak ada syarikat pemaju yang sah.

Walau bagaimanapun, persetujuan kontrak ini diikat dengan satu pemetraian perjanjian rasmi di antara rakan saya dan Ketua Bahagian tersebut, tetapi entah macam mana dengan tipu-helah, pengaruh dan jaringan kontak (contact networking) beliau dengan pihak-pihak yang berkenaan (termasuklah seorang Hakim Mahkamah di Alor Setar), maka perjanjian tersebut tidak binding dari segi undang-undang. Kerja-kerja pembinaan telah selesai dengan sempurna dan projek itu siap dalam jangka waktu yang ditetapkan, tetapi bayaran tidak dilangsai.

Kos yang terpaksa ditanggung oleh rakan saya itu termasuklah bayaran kerja-kerja pembinaan dan gaji pekerja, pembelian bahan-bahan binaan dan kos pengangkutan membawa peralatan binaan dan perjalanan berulang-alik dari Pulau Pinang ke Utara Semenanjung, kerana rakan saya based di Pulau Pinang - yang berjumlah lebih daripada RM1.0 juta. JKR enggan membayar kos perbelanjaan itu kepada rakan saya walaupun mereka mengetahui benar-benar bahawa semua kerja pembinaan dari awal sehingga ke akhir dijalankan olehnya, tetapi secara rasmi projek itu diberi (awarded) kepada Ketua Bahagian UMNO berkenaan (kes ini telah dibawa ke Mahkamah di Alor Setar tetapi kalah).

Maka telah berlakulah satu penipuan dan penganiayaan yang terang-terang, di mana rakan saya menjadi mangsa kepada seorang Ketua Bahagian UMNO yang tidak bertanggungjawab dan tidak berperikemanusiaan yang mendapat projek percuma, dan duduk goyang kaki lantas menerima pula wang berjuta-juta ringgit. Ini baru secebis sahaja kisah yang berlaku di kalangan sebahagian daripada ahli/pemimpin UMNO yang berunsur penipuan, dan merupakan bibit-bibit benih untuk berkembang dan bercambah kepada politik wang. Jika Ketua Bahagian ini sanggup menipu dan menganiaya orang kerana wang, masakan ia tidak sanggup memerima wang sogokan semasa memilih pencalonan. Anjing kalau biasa makan tahi, tak makan hidu pun cukup (fakir-fikirlah sendiri!).

Dalam kes yang lain pula, di mana Umum juga telah mengetahuinya (jika BELUM ketahui kini diberi tahu), iaitu amalan inbreeding/inherent (menanam nilai negatif) dalam UMNO. Menurut amalan ini seolah-olah UMNO memberi pembelaan kepada ahil-ahlinya, terutama bekas pemimpin di peringkat atasan (higher echelon - mungkin mantan Menteri atau Timbalan Menteri) dengan menydiakan peluang-peluang “pekerjaan”. Tetapi mereka yang bernasib baik ini mengamalkan cara bekerja “ALI
BABU” (maaf, ini istilah saya), i.e., bekas pemimpin berkenaan menjadi “Professional Beggers” (di atas ihsan jasamu tetap dikenang) dengan melobi untuk mendapatkan projek besar dari pemimpin tertinggi UMNO atau yang kedua tertinggi, di mana peluang mendapatkannya 100%, tetapi mereka ini tidak ada (yang ada hanya gigi dan lidah) lesen atau syarikat pemaju (apatah lagi modal yang besar untuk melaksanakannya). Justeru mereka terpaksa ‘berkaki’ dengan Kontraktor Bumiputera katakanlah yang mempunyai lesen Kelas ‘B’ atau ‘A’. Bila dapat projek, Syarikat Bumuputera (biasanya projek di bawah JKR dikhaskan kepada Syarikat Bumiputera sahaja) inilah yang akan menjalankannya bagi pihak pelobi tadi, dan pelobi hanya berminat untuk mendapatkan habuannya sahaja. Begitulah secebis kisah Pemaju ALI BABU!

Wujudnya politik wang dalam UMNO setelah menyaksikan peralihan senario politik tanah air yang berlaku di sekitar tahun-tahun 1980an. Sebelumnya kebanyakan kepimpinan di peringkat pertengahan dan bawahan UMNO dikuasai oleh golongan pendidik yang tediri daripada guru-guru bukan siswazah (guru siswazah dikira pegawai kelas SATU dan dilarang daripada berpolitik) dan lain-lain ketegori, yang di antaranya dilambangi oleh Allahyarham Dato’ Haji Abdul Rahman Bin Talib, Allahyarham Tun Ghaffar Baba, Tun Abdul Rahman Bin Haji Abbas dan lain-lain.

Dalam era ini, fenomena politik wang tidak diketahui langsung (unheard of), apatah lagi hendak diamalkan sebagai asas tawar-menawar untuk mendapatkan kuasa. Setelah gelombang yang kedua melanda, yang terdiri daripada tokoh-tokoh korporat, ahli-ahli perniagaan dan para kontraktor etc., barulah ianya bertukar wajah yang menjadikan
UMNO sebagai gelanggang beli-membeli kuasa. Maka wujudlah politik wang, di mana berpolitik telah dilihat sebagai suatu punca atau sumber utama dan peluang keemasan untuk mendapat projek-projek besar (terutama bagi para kontraktor, seolah-olah tanpa UMNO tiadalah projek. Saya mengetahui seorang dalam Kerajaan dengan mudah sahaja mendapat lesen kelas ‘A’ selepas bersara dari politik) dan seterusnya menjadi kaya-raya dalam sekelip mata sahaja - sehingga ada individu yang sudahpun kaya-raya tetapi masih sanggup memasuki UMNO semata-mata untuk menjadi Menteri, dan menjadi bertambah kaya- raya.

Di sinilah bermulanya nawaitu yang salah yang dibawa bersamanya wabak penyakit yang bakal menular sehinggalah tenat seperti sekarang. Kini keadaannya adalah seperti nasi sudah menjadi bubur. Gejala politik wang dalam UMNO telah menular dari peringkat serendah-rendahnya sehinggalah ke peringkat yang paling tinggi. Sempadan terakhir penguasaan ahli profesional pendidik dalam politik UMNO yang bersih dari gejala politik wang ialah apabila Tun Mohd. Khalil Bin Yaakob, yang pada ketika itu sebagai Timbalan Menteri Pelajaran Malaysia bertanding dengan mendapat undi terbanyak (highest votes) kerana beliau masih lagi disokong oleh undi golongan pendidik (tidak ada sogok-menyogok), terutama Pengetua, Guru Besar dan guru-guru (mungkin dia tak sedar, tetapi guru-guru sedar).

Tidak dinafikan bahawa penyumbang utama kepada politik wang dalam UMNO ialah faktor taraf ekonomi dan status sosial (social station) para pemimpin UMNO itu sendiri, terutama sekali pemimpin di peringkat cawangan dan mereka yang berada di akar umbi. Di peringkat cawangan dan bawahan ini didapati adanya pemimpin yang tidak mempunyai tahap ekonomi yang kukuh (lower standard of living), malah ada di kalangan mereka yang tidak berpendapatan atau bergaji tetap (unemployed atau partially-employed).

Tambah memburukkan lagi ialah selain tidak mempunyai pekerjaan yang tetap atau decent jobs, terdapat pemimpin tempatan yang kurang berpelajaran - mungkin mereka tidak tamat pendidikan menengah, manakala mereka yang berpendidikan tinggi pula enggan memasuki UMNO. Bagi mereka gaji yang diperolehi sudah mencukupi, mengapa perlu masuk UMNO? Sedangkan mereka yang tidak berpelajaran dan tidak mempunyai pekerjaan tetap sangat berminat hendak masuk UMNO dengan harapan boleh mendapat “harta karun” dan menjadi cepat kaya.

Pemimpin-pemimpin di cawangan-cawangan di luar-luar bandar umpamanya, memang rajin bergiat dalam aktiviti-aktiviti parti, tetapi tidak mempunyai kerja yang tetap yang boleh menjamin pendapatan yang stabil (mungkin kerana tidak ada kerja, maka banyak masa yang terluang untuk mereka berpolitik atau digunakan politik sebagai satu saluran escapism). Manakala mereka yang status ekonominya teguh pula tidak berminat untuk bergiat dalam politik. Malah di salah sebuah cawangan UMNO di kawasan Petaling Jaya ini masih terdapat Ketua Pemudanya yang tidak mempunyai satu pekerjaan yang tetap, dan sahsiahnya juga sangat dicurigai serta boleh dipersoalkan, tetapi ia terpaksa dipilih kerana tidak ada calon lain yang lebih layak dan sesuai - jika ada yang sesuai pun tetapi tidak berminat pula. Pemimpin seumpama inilah yang mudah terjebak dan terperangkap dalam politik wang.

Ini baru sikap atau tindak-tanduk pemimpin kerdil di peringkat bawah, tetapi tidak kurang juga pentingnya pemimpin di peringkat atasan dan yang paling atas. Kalau yang
di bawah sanggup menerima wang sogokan kerana tahap ekonomi mereka rendah atau mereka tidak ada pendapatan yang tetap, maka pemimpin yang di atas pula yang terdiri daripada mereka yang kaya-raya serta amat berpengaruh, katakanlah seperti beberapa Menteri Besar atau Ketua Menteri (bukannya semua), sanggup pula untuk menabur wang bagi memancing dan membeli undi apabila berlaku perebutan jawatan parti yang penting.

Masalah organizational inbreeding (telah disentuh sedikit di awal tadi) juga tidak boleh diperkecil-kecilkan. Seolah-olah wujudnya satu vicious circle dalam UMNO kerana amalan taburan wang ringgit sudah begitu lumrah serta menjadi satu norma (norm), malah sudah menjadi amalan biasa kepada pelbagai pihak. Dalam pilihanraya umum umpamanya, UMNO dan Barisan Nasional tanpa segan-silu dengan terang-terang dan dengan sewenang-wenangnya menabur wang (hakikat ini mesti diterima dengan jujur dan ikhlas - haram jika dinafikan), kerana semasa berkempen adalah tidak sah jika mereka tidak menabur wang.

Lebih teruk lagi jika berlaku pilihanraya kecil (seperti di Kuala Terengganu nanti) kerana pada waktu itulah telampau banyak wang yang hendak ditaburkan (terutama sumbangan dari mereka dan pihak-pihak swasta, korporat atau individu yang berkepentingan - mereka melabur sekarang dan mengaut keuntungan kemudian). Pada masa yang sama juga semua jentera parti UMNO dari negeri-negeri akan bertumpu ke Kuala Terengganu dengan membawa bersama kekuatan kewangan (fiscal power) masing-masing.

Bagaimana kita hendak membenteras gejala politik wang kalau di sana-sini banyak pihak yang masih mengamal taburan wang, ada banyak insentif yang menggalak dan mengheret kepada amalan politik wang. Jika tidak hulur wang maka kerja tidak berjalan dan undi tidak diberi. Justeru isu politik wang ternyata melibatkan tindakan ‘bertepuk dua belah tangan.’ Berapa undi yang anda mahu dari negeri si-polan si-polan - sila hulur wang (sehingga kegiatan lobi-melobi dan pujuk-memujuk sering digunakan dengan meluas hanya semata-mata untuk menagih wang). Begitulah sedikit sebanyak dan serba ringkas senario politik wang dalam UMNO, yang sangat sakit mata memandang, tetapi lebih perit lagi bahu yang memikul.

Rumusannya, politik wang jelas bertunjang kepada isu sikap, integriti, kemantapan rohaniah dan keluhuran hati-budi mereka yang terlibat. Tambahan pula ianya kini sudah menular dan merebak sehingga ke tahap wabak. Kata orang, nasi sudah menjadi bubur dan perahu sudah terlajak. Justeru untuk kembali ke pangkal jalan, UMNO terpaksa menungkah arus (daunting tasks) yang sangat hebat. Setiap ahli UMNO perlukan conserted efforts dan usaha yang serius serta berterusan demi untuk membenteras gejala politik wang ini. Yang paling penting keazaman politik (political will) mesti digunakan (mobilize), dan asas-asas keadilan seharusnya merentasi semua pihak dan peringkat, tanpa memilih bulu. Jika perlu cantas, mesti cantas (mesti objektif dan profesional) - jangan ada belas kasihan atau memilih bulu!

Jangan sekali-kali melayan ahli/pemimpin UMNO yang re-cond (sila tolak segala “rujukan” mereka, dan sedarilah jika perlu undur dengan hormat; maka berundurlah dengan selamat, dan jangan sampai dipecat!). UMNO bukannya ketandusan pemimpin/ketua. Kerana amalan memilih pemimpin UMNO yang salahlah (memilih konco-konco/nepotism, seperti ada yang dilantik sebagai Menteri de facto melalui saluran Senatorship dan kemudian meletak jawatan - bukankah memalukan?), maka ramai pemimpinnya yang berkaliber telah lari menyeberangi kepada PAS dan PKR! Fikir-fikirlah!

Akhir sekali, sifat TAMAK pemimpin UMNO adalah salah satu faktor yang jelas menyumbang kepada amalan politik wang. Saya menghormati pemimpin-pemimpin politik dan rakyat Amerika keseluruhannya yang menghad seorang Presiden memerintah hanya selama dua penggal sahaja. Di Malaysia nampaknya telah mula dicontohi oleh Parti Malaysian Chinese Association (MCA) yang membenarkan Presidennya untuk dua penggal sahaja. Padahnya ialah apabila pemimpin UMNO ingin bertahan lama (mungkin buat selama-lamanya) dalam satu-satu jawatan yang disandangnya - sama ada di dalam UMNO ataupun dalam Kerajaan, katakanlah sebagai seorang Menteri.

Berbeza dengan negara lain, para pemimpin UMNO seolah-olah ingin menjadikan bidang politik sebagai kejaya seumur hidup (lifelong career), maka untuk mempertahankan jawatan, penyandangnya sanggup melakukan apa sahaja, malah sehingga sanggup “membeli” jawatan, asalkan ianya tidak jatuh ke tangan orang lain. Jika perlu bertanding, maka pelbagai cara pula akan digunakan (termasuklah sogok-menyogok wang) demi menjamin kemenangan dalam pertandingan. Saya kira sudah sampailah masanya UMNO menetapkan had masa (tenure) “perkhidmatan” ahli politik, termasuklah jawatan Perdana Menteri, demi untuk mengelak daripada politik wang. Sistem yang sedia wujud ini lebih banyak membawa keburukan daripada kebaikan, terutama bagi membantu membenteraskan politik wang.

AR Munsyi
November 2008

Thursday, November 27, 2008

PELAKSANAAN BAHASA INGGERIS KINI : DI MANA SALAHNYA?

Banyak bidang profesional seperti di antaranya bidang-bidang perubatan, kejuruteraan, seni bina atau perundangan, etc., di mana ramai ahli masyarakat dan orang awam yang tidak terlatih di dalamnya tidak berani mengaku atau bercakap seolah-olah mereka juga ahli atau pakar di dalam bidang-bidang tersebut. Tetapi jelas berlainan sama sekali dengan bidang pendidikan, di mana seolah-olah semua orang gemar dan mempunyai authority bercakap tentangnya (semacam ‘free for all), yang mereka juga kononnya adalah ‘ahli profesional’ dalam bidang tersebut. Tendensi atau kecenderungan seperti inilah yang kerap kali kelihatan bahawa bidang pendidikan itu sudah menjadi caca-merba (topsy-turvy) - sebab ramai orang yang konon-kononnya ‘bijak’ bercakap mengenainya, sama seperti ahli-ahli profesional pendidik yang sebenar yang terlatih serta berpengalaman luas dalam bidang pendidikan.

Inilah masalah yang paling besar (campur tangan yang memandai-mandai) yang terdapat dalam sektor pendidikan, dan tambah merumitkan lagi jika orang-orang yang mengaku diri mereka pakar itu berkuasa pula untuk membuat keputusan penting, di mana ternyata mereka ini berdiri di atas platform yang tidak seiring dan senada dengan dasar dan prinsip utama pendidikan kebangsaan. Mereka ini lazimnya mempunyai agenda yang tersembunyi sehingga sanggup mengenepikan kepentingan yang lebih utama.

Mereka mungkin datang dari latar belakang di luar daripada parameter pendidikan, maka mereka sudah tentu mempunyai perspektif yang berlainan dan songsang dalam konteks pelaksanaan dasar, program dan aktiviti pendidikan, yang timbul dari perkiraan atau pertimbangan yang salah. Justeru golongan ini saya kira amat merbahaya kerana ‘nawaitu’ atau kepentingan mereka lebih becorak persendirian (personal) dengan motif-motif tersendiri, i.e., ada udang di sebalik batu - bukannya seperti orang-orang dan pihak yang berkepentingan (stake holders) yang tulen seperti guru-guru, ahli-ahli pendidik, ahli akademia atau para ibu bapa. Mereka seperti inilah juga yang terang-terang merosak dan memporak-perandakan dunia pendidikan. Maka terjadilah seperti kata pepatah Melayu, ‘tikus membaiki labu,’ - bukan semakin cantik tetapi bertambah rosak. Bahkan bukan itu sahaja, labu itu sudah tidak boleh ‘direpair’ lagi. Tetapi bagi sesiapa jua yang komited dan bertanggungjawab dalam pendidikan dan berjuang untuk kepentingan profesion perguruan, maka mereka tidak boleh membiarkan ‘Si Luncai terjun dengan labu-labunya.’

Berdasar kepada senario yang dipaparkan ini, saya ingin menjadikannya satu latar belakang (backdrop) untuk menarik perhatian para pembaca kepada isu penggunaan Bahasa Inggeris dalam pengajaran dan pembelajaran (P & P) mata pelajaran Matematik dan Sains di sekolah-sekolah. Walaupun perkara ini bukannya baru, tetapi tidaklah salah kalau dilihat semula pelaksanaannya (revisited), terutama dari segi baik-buruk, salah-

betul ataupun yang lebih penting kesesuaiannya. Lebih-lebih lagi apabila idea pengwujudannya dahulu dan detik permulaan pelaksanaannya dipayungi oleh kuasa besar (publik tentu sedia mengetahui siapa yang saya maksudkan) yang menyebabkan ramai, termasuk kaum pendidik dan para intelektual, yang banyak mengangguk daripada menggeleng. Apa yang diarah semua jalan! Sebagai pendidik, apatah lagi bagi mereka yang terlibat secara langsung dalam proses pemutusan dasar (baik mengenai dasar utama pendidikan mahupun dasar untuk pelaksanaan), saya kira mereka telah melakukan satu dosa yang amat besar sekiranya mereka akur dengan inisiatif ini tanpa melihat intipati pelaksanaannya dan dengan mengambil kira prinsip-prinsip dan tradisi keilmuan yang menjadi tunjang dan paksi dalam ethos pengajaran dan pembelajaran.

Semua ahli pendidik yang tentunya lebih arif, akan bersetuju dengan saya bahawa mata-mata pelajaran Matematik dan Sains tergolong di bawah subjek teknikal yang mendukung ciri-ciri saintifik, di mana tahap objektivitinya sangat tinggi yang mengutamakan aspek-aspek fakta, kejituan, ketepatan (precision) dan bahan-bahan pembelajaran yang praktis dan konkrit, tetapi agak terpisah (remote) dalam aspek dan ciri-ciri aestetika, kemujaradan (abstract), kreativiti dan subjektiviti. Mata-mata pelajaran Matematik dan Sains yang tidak jauh bezanya dengan disiplin ilmu Statistiks, masing-masing lebih dikenali sebagai ‘dry subjects’ di kalangan komuniti sekolah kerana proses pengajaran dan pembelajarannya sangat menekankan aspek kognitif, iaitu lebih banyak menghafal dan mengingat daripada rasional atau penakulan yang dikuasai di bawah domain afektif.

Mengapakah Matematik dan Sains dikatakan ‘dry subjects’? Jawapannya ialah kedua-dua mata pelajaran itu bukan dari cabang ilmu (jurusan) Sastera (Arts), yang sarat dengan unsur keindahan serta ciri-ciri prosaic dan nilai-nilai puitis, yang di antaranya meliputi mata-mata pelajaran seperti Geografi, Sejarah, Pendidikan Moral, Sastera, Sains Kesihatan, Perdagangan, Seni Perusahaan, Kajian Tempatan, Sains Rumahtangga, Kemahiran Hidup ataupun Sivik. Dalam sejarah perkembangan ilmu, kesemuanya ini tergolong di bawah disiplin Sains Sosial atau Kajian Sosial (Social Studies) atau Humanities.

Sebagai mata pelajaran teknikal, tentu ianya sangat kurang melibatkan unsur-unsur ekspresif (means atau source of expression), baik dalam proses pengajaran mahupun pembelajarannya, di mana pelajar dan guru didapati agak kurang berhubung atau berkomunikasi dan berinteraksi secara ‘intense verbalisation’ sebagai aktiviti meluas dalam sistem penyampaiannya (delivery system) di dalam bilik darjah.

Bahasa, dan termasuklah juga Bahasa Inggeris adalah ‘highly verbalised’ yang menuntut peluang dan kemudahan belajar untuk mengasah bakat dalam aspek ‘expression’ dan ‘orality.’ Maksudnya, dalam pengajaran bahasa para pelajar seharusnya banyak terdedah dan mendapat pengalaman yang meluas dalam kemahiran bercerita atau ‘naration’ dan

pernyataan perasaan yang boleh menyumbang kepada pengembangan ‘literary excellence.’

Malangnya banyak kualiti dan ciri-ciri yang saya sebutkan di atas tadi kurang terdapat dalam mata pelajaran teknikal seperti Matematik dan Sains. Dalam kedua-dua mata pelajaran tersebut sangat kaya dengan unsur-unsur empirikal di mana terbukti ianya

banyak menggunakan bahasa atau kaedah berkomunikasi yang berasaskan perlambangan (symbols dan signs), seperti tanda-tanda, gambarajah, equations, unsur-unsur singkatan, formula, theorems, dan sebagainya dalam pengajaran dan pembelajaran, malah dalam disiplin Sains Tulen umpamanya, banyak pengajaran yang disampai atau dijalankan melalui aktiviti eksperimen dan amali dalam Makmal Sains.

Seperti yang kita semua sedia maklum bahawa dalam melaksanakan eksperimen para pelajar lebih banyak didedah kepada kemahiran memerhati (observation), ‘hands-on experience’ dan merekod hasil yang dicapai secara objektif dan saintifik (in-situ) dengan penggunaan bahasa penulisan yang paling mudah, paling ringkas dan paling ekonomikal (jauh sekali daripada melibatkan daya kreatif dan ekspresif) - amat sedikit interaksi yang mengguna atau memerlukan kelancaran berbahasa. Maka dalam konteks ini peluang dan keupayaan untuk menggunakan bahasa sebagai suatu medium secara artistik, artikulatif dan ‘versatile’ serta menguasai kepetahan bertutur dan mencapai ‘mastery of language’ (baik secara bertulis mahupun lisan), adalah sangat terhad jika dibandingkan dengan mata-mata pelajaran di bawah kategori Sains Sosial.

Dengan mengetahui sifat-sifat dan ciri-ciri yang membentuk sesuatu disiplin ilmu itu, dan termasuklah mata-mata pelajaran Matematik dan Sains, jadi mengapa kita masih lagi berdegil memilih mata pelajaran tersebut sebagai media atau saluran untuk menguasai dan menggarap kemahiran dalam berbahasa Inggeris? Mengapa tidak melalui mata-mata pelajaran lain seperti Sivik/Tatarakyat, Sejarah, Kajian Tempatan atau Sastera? Kemahiran berbahasa Inggeris yang dipelopori, dikuasai dan diperolehi melalui pembelajaran dalam mata-mata pelajaran itu tadi boleh juga digunakan untuk menguasai ilmu dan kemahiran yang terdapat dalam Matematik dan Sains walaupun kedua-dua subjek itu masih diajar seperti dahulu dalam Bahasa Melayu sebagai Bahasa Pengantar. Ramai ahli Sains dan pakar Matematik di negara-negara Jepun dan Korea Selatan yang mempelajari kedua-dua mata pelajaran Matematik dan Sains dalam Bahasa Ibunda mereka masing-masing, namun pengalaman itu tidak pula menjejas atau mengekang proses peguasaan ilmu mereka, lebih-lebih lagi dalam disiplin Matematik dan Sains.

Saya amat terkilan ketika menulis artikel ini kerana ke mana perginya tokoh dan pejuang bahasa tanah air yang selama ini menjadi tonggak pembenteng yang diamanah untuk mempertahankan kedaulatan dan maruah Bahasa Melayu yang telahpun lama diiktiraf sebagai Bahasa Kebangsaan, Bahasa Rasmi Negara dan Bahasa Pengantar dalam sistem pendidikan negara. Kekesalan yang sama juga terletak pada tanggungjawab ahli-ahli profesional pendidik tanah air yang terdiri daripada guru-guru, para pensyarah, para

intelektual, cendikiawan dan maha guru sehingga sanggup diperkotak-katik dan ‘diovershadow’ oleh ahli politik (political masters). Mereka ini memang mudah membuat keputusan dan melaksanakannya kerana mereka mempunyai kuasa dan segala

infrastruktur. Tetapi apabila gagal, mereka terus mencuci tangan, dan yang menerima padah cemuhannya adalah Pengamal Pendidikan (Education Practitioners).

Hakikat ini perlu disedari benar-benar oleh semua ahli pendidik di mana jua mereka berada, kerana custodian yang ditugaskan untuk memelihara dan menjamin kejayaan Falsafah Pendidikan Negara (FPN) dan Dasar Pendidikan Kebangsaan adalah kita. Manakala agensi pusat yang digantung harapan, iaitu Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) sudah kehilangan taring. Badan ini, menurut pendapat umum, telah hilang haluan dan pedoman, dan lebih malang lagi telah tersasar dari matlamat asalnya, di mana fungsi dan peranannya seperti kata pepatah Melayu, “harapkan pagar, pagar makan padi”, kerana boleh dikatakan hampir kesemua Pengarahnya adalah “Yes Men” kepada Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM). Sehubungan dengan itu, tidak ada gunanya pihak tertentu bersusah payah memerah otak untuk menyediakan satu perancangan strategik pendidikan, Pelan Pembangunan Pendidikan (tetapi Kementerian pakai “Pelajaran”) 2001 – 2010 jika hanya semata-mata untuk berfungsi sebagai “smoke screening” atau “window dressing” sahaja bagi mangabui mata orang ramai, di mana lain dikata tetapi lain pula yang dikota. Maka kini sudah tibalah masanya negara perlu ada satu badan/barisan bertindak (task force) yang benar-benar bertanggungjawab serta boleh menjalankan peranannya dengan berkesan sebagai suatu mekanisme untuk “check and balance.” Di sinilah semua ahli bahasa dan para pendidik di seluruh negara, dan tokoh-tokoh pejuang kebangsaan seharusnya bangun segera dari lena yang panjang.

Fokus utama ahli pendidik adalah jangan sekali-kali membiarkan ‘orang luar’ menceroboh rumahtangga anda dengan sewenang-wenangnya. Dengan kesedaran ini, janganlah dibiarkan sesuatu kesilapan masa lampau berlaku sehingga berterusan. Kalau terjatuh hendaklah bangkit semula, dan kalau sesat di jalan hendaklah kembali ke pangkal jalan. Jika kerugian, hendaklah kembali mengaut laba sepanjang zaman. Inilah semangat waja yang patut ditempa.


AR Munsyi

09 November 2008