Friday, December 12, 2008

KETUANAN MELAYU : JANGAN SENGAJA DISALAH-ERTIKAN

Ketuanan Melayu (dikenali juga sebagai the Malay Supremacy/Dominance) bukan bererti orang Melayu hendak menjadi “tuan,” walaupun semua orang memang bercita-cita (aspire) hendak menjadi tuan - tuan kecil, tuan sederhana ataupun tuan besar! Adalah amat mustahil jika semua orang Melayu di negara ini mengimpikan ingin menjadi tuan. Bukan sahaja mustahil dan tidak termasuk di akal, malah pasti tidak diizin dan direstui oleh Allah S.W.T., kerana lumrah/fitrahnya Tuhan menjadikan manusia ini, dan termasuklah orang Melayu, berbagai-bagai dan tidak seragam (heterogeneity). Ada sifat-sifat dan ciri-cirinya yang beraneka dan berlawanan - ada besar-kecil, tinggi-rendah, gemuk-kurus, hitam-putih, hina-mulia dan kaya-miskinnya, maka sebab itulah Islam mewajibkan umatnya supaya mengeluarkan zakat-fitrah, sedekah jariah, tolong-menolong dan saling sayang-menyayangi, agar mereka yang senang boleh membantu yang susah (ini amat jelas sekali bahawa wujudnya ketidak-samarataan, namun tetap ada hikmahnya).
Dalam konteks ini, secara lojiknya tidak mungkin semua orang Melayu (malah termasuklah juga suku kaum dan bangsa-bangsa lain di dunia ini), walau sehingga ke hari kiamat sekalipun, boleh menjadi tuan. Sedangkan di negara-negara barat yang begitu maju dan kononnya jaguh demokrasi, rakyat berkulit putih (dominant group) masih juga menjadi kuli - bekerja sebagai pencuci longkang, pencuci saluran pembuangan bahan-bahan kumbahan, tukang kebun, penggali parit, pemangkas pokok, pemandu kenderaan tuan punya orang berkulit hitam atau suku kaum Chicano! (jika di Amerika Syarikat).
Samalah juga dengan di negara kita, terdapat orang Melayu yang menjadi driver kepada tuan yang bukan Melayu, bekerja di ladang kelapa sawit kepunyaan orang Cina atau bekerja sebagai pembantu pekedai di kedai milik orang India, dan bermacam-macam lagi, kerana orang Melayu sendiri bukanlah makhluk ajaib (superman), yang pantang (taboo) untuk menduduki pada taraf atau status pekerjaan tertentu. Tetapi kita sebagai individu yang bermaruah, malah Islam juga akan mempersoalkan mengapa lebih kurang 40 - 50 tahun yang lampau orang Cina sahaja yang banyak dan lazimnya bekerja sebagai pengangkut najis (night soil careers), sedangkan pada masa ini boleh dikatakan orang Melayu pula yang banyak terlibat dalam pekerjaan yang tidak kurang juga sama tarafnya, seperti kerja-kerja mengangkut sampah-sarap, mencuci longkang, memotong rumput atau menyapu jalan dan lain-lain. Seolah-olah sebut sahaja Melayu, maka merekalah rata-rata pekerja dalam pekerjaan bergred rendah (odd jobs dan under-employed), yang juga akan menentukan taraf ekonomi dan pengenalan status sosial mereka.
Ideologi Ketuanan Melayu hendaklah difahami sebagai suatu TUNTUTAN untuk meletakkan orang Melayu, sebagai Penganut agama Islam, dan Pengamal budaya dan adat resam Melayu pada tempat dan tahap yang sepetutnya. Kita hendaklah jangan lari dari hakikat yang sebenarnya (jangan siapapun yang sengaja cuba memutar-belit atau mempolimikkan fakta) bahawa orang Melayu adalah penduduk/pemastautin asal (anak jati) di sebuah negara sahaja di dalam dunia ini yang bernama Tanah Melayu (sekarang ditukar kepada nama Malaysia) - dia tidak kata Tanah Keling atau Tanah Tionghua!
Maka jika begitulah keadaannya, inilah satu-satunya sahaja tanah pusaka tinggalan nenek-moyang orang Melayu - tidak dua dan tidak tiga! Mereka tidak ada negara induk atau negara kediaman alternatif (seperti penduduk Malaysia dan Thailand di Rantau Panjang dengan Pekan Golok umpamanya - mudah lari keluar-masuk) yang lain yang boleh accommodate mereka. Di sinilah sahaja ada satu bangsa yang menutur tiada lain hanya bahasa warisan mereka, Bahasa Melayu. Tetapi bagi suku kaum yang lain ada bangsanya di negara lain dan masing-masing bahasa pula ditutur di negara lain - yang bermakna ruang sosial (social milieu/settings) mereka sangat luas. Tetapi bagi orang Melayu, inilah sahaja satu-satunya negara tempat tumpah darah mereka, dan kepadanyalah seluruh jiwa raga dan taat setia ditumpukan (mereka tidak punya saudara-mara atau handai-taulan di Hongkong, Taipeh, Australia, Mumbai atau Amerika sebagai pendorong untuk menukar ‘kiblat’).
Ketuanan Melayu sebenarnya adalah mengenai status orang Melayu sebagai rakyat Bumiputera/Pribumi (bertutur dalam Bahasa Melayu dan mengamalkan adat resam budaya Melayu - namun malangnya ada “pendatang” yang secara kebetulannya tergolong dalam ketegori yang sama; maka bernasib baiklah mereka!), di negara ini sebagai satu trade off kepada mereka kaum bukan Melayu yang dengan sekelip mata pada waktu itu secara enbloc mendapat taraf kerakyatan Malaya sepenuhnya (inipun dicapai secara terang-terang di atas tipu muslihat British - saya akan jelaskan kemudian), dan mereka bukan Melayu di negeri-negeri Selat (Pulau Pinang, Melaka dan Singapura) pula diberi keistimewaan untuk memilih sama ada mahu terus menjadi rakyat Penjajah Inggeris atau rakyat negara baru mereka, Persekutuan Tanah Melayu (not as natural citizens).
Saya kira ini satu keutamaan yang luar biasa bagi mereka, dan ramai juga yang memilih untuk menjadi British Subjects dan masih tinggal di Malaysia sehingga sekarang (mungkin menjadi suatu kebanggaan bagi mereka)! Manakala orang Melayu tiada pilihan lain melainkan tetap menjadi anak pribumi negara ini dan di sinilah seluruh taat setia dan komitmen mereka ditumpahkan.
Saya harap tiada sesiapa pun yang akan lupa kepada fakta sejarah yang amat penting ini. Kalau Melayu dikatakan mudah lupa, maka dalam perkara crucial seperti ini orang bukan Melayu lebih-lebih lagi, dan sekali-kali jangan mudah lupa, atau sengaja hendak MELUPAKAN. Jangan cuba atau sengaja mempolitikkan soal isu Ketuanan Melayu, kerana orang Melayu TIDAK ingin melihat Hak Ketuanan Melayu menjadi mangsa tawar-menawar (bargaining) kepada sepak terajang permainan politik kotor yang didalangi oleh UMNO dan BN! (Banyak yang sudah hilang disebabkan bargaining yang lemah dan berat sebelah/lopsided). Kerana melihat UMNO lemah, maka orang bukan Melayu (ini adalah hakikat sejarah hitam 13 Mei, 1969) telah mula naik tocang dan menangguk di air keruh! Jangan ingat UMNO lemah, maka disangka mereka orang Melayu sudah lemah, kerana hakikatnya UMNO kini bukan lagi mewakili orang Melayu keseluruhannya, malah ramai ahli UMNO sekarang adalah sponsored membership (tanpa subsidi tak mungkin bilangan ahli UMNO seramai sekarang), di mana taat setia dan ‘kredibiliti’ mereka boleh dipertikaikan.
Orang bukan Melayu perlu banyak belajar dari Sejarah, tanpa memutar-belitkan fakta-fakta sahih yang membentuknya (Kerajaan Malaysia kalah kepada Singapura dalam tuntutan hak ke atas Pulau Batu Putih adalah disebabkan fakta Sejarah (walaupun fakta tersebut didapati sangat lemah tetapi tetap valid) - jadi jangan memperlekeh atau memandang remeh!). Pertama, mereka perlu mengetahui dan sedar tentang asal-usul institusi Ketuanan Melayu yang telah sedia wujud sebelum nenek moyang mereka ‘bertandang’ dan ‘berkampung’ di Alam Melayu lagi. Tegasnya, Ketuanan Melayu lahir beratus-ratus tahun yang lalu bersama institusi Kesultanan Melayu yang bertapak di Gugusan Kepulauan Melayu, khususnya di Melaka di bawah Kesultanan Melayu Melaka (Classical Malacca Sultanate). Ketuanan Melayu sebagai suatu ideologi ternyata mempunyai tradisi salasilah sejarahnya yang berkesinambungan.
Sejak tahun 1402 sehinggalah ke zaman-zaman berikutnya, orang-orang Melayu telah menerima dan akur bahawa Raja-Raja Melayu sebagai Payung yang menaungi rakyat, bangsa, agama dan negara yang berpaksikan falsafah, “Raja Adil Raja Disembah, Raja Zalim Raja Disanggah”. Institusi beraja ini diperkukuhkan lagi dengan adanya privilege Kekebalan (Immunity) Raja-Raja yang melindungi mereka dari “sentuhan” undang-undang, asalkan TIDAK melibatkan isu peribadi mereka. Pada zaman klasik, rakyat dan Kesultanan Melayu adalah satu kesatuan yang harmoni yang tidak dapat dipisahkan, yang membina Alam dan budaya Melayu. Maksudnya, Raja adalah Custodian masyarakat dan bangsa Melayu yang berperanan memelihara hak, kebajikan, kesejahteraan, agama, adat resam dan budaya mereka, di mana wujud semangat saling perlu-memerlukan, selagi Raja itu tidak zalim serta berlaku adil.
Kedua, kedatangan Penjajah di bumi Melaka yang dipelopori oleh Portugis pada tahun 1511 dan Belanda pada tahun 1641, dan seterusnya di Tanah Melayu oleh kuasa Inggeris/British pada 1874 - kesemuanya ini tidak menghakiskan institusi Kesultanan Melayu, walaupun pada umumnya sedikit sebanyak agak tergugat. Campur tangan (intervention) pertama Penjajah Inggeris di Tanah Melayu, khususnya di negeri-negeri Melayu, bermula di Negeri Perak pada 20 Januari 1874 setelah termetrainya Persetiaan Pangkor di antara Sultan Perak; Raja Abdullah dan Sir Andrew Clarke mewakili British, yang di antaranya mempersetujui bahawa, “ … The Sultan would receive a British Resident whose advice had to be sought and adhered to in all matters except those pertaining to the religion and customs of the Malays”.
Melalui Perjanjian ini walaupun kuasa Sultan didapati agak terhakis, tetapi Penjajah Inggeris tetap tidak “merompak” (plundered) kuasa Raja yang berhubung dengan agama Islam, adat resam dan budaya Melayu. Dengan lain perkataan, Penjajah Inggeris masih mengiktiraf dan menghormati Kedaulatan Raja-Raja Melayu di Negeri-Negeri Melayu Bersekutu dan Tidak Bersekutu (Federated and Unfederated Malay States). Mesti diingat bahawa Kedaulatan inilah yang melambangkan Hak Ketuanan Melayu, di mana Raja-Raja Melayu adalah Pelindungnya. Selagi wujud institusi Raja-Raja Melayu, maka selama itulah juga akan kekal institusi Ketuanan Melayu, yang pada akhirnya telah diperkasakan seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Negara yang menginsitutkan konsep sebuah negara merdeka yang berdaulat yang mempunyai Raja Berperlembagaan (Constitutional Monarchy). Seperti yang diketahui umum bahawa Perlembagaan Negara merakam, mentafsir dan menterjemahkan Kontrak Sosial (Social Contract) yang telah dipersetujui oleh kesemua pemimpin kaum yang merupakan Pengasas Kemerdekaan (the Founding Fathers).

Jika hendak dipersoalkan siapa yang lebih beruntung, dan siapa yang banyak bertolak ansur? Malah Kontrak Sosial yang telah dipersetujui itupun jika hendak dihalusi betul-betul, masih tetap berat sebelah, i.e., masih memihak kepada kaum bukan Melayu (ini bukan racist tetapi saya memohon rationality (level-headed thinking) semua pihak). Apa tidaknya? Apa yang diberikan kepada orang Melayu adalah hak yang memang sedia kala dipunyai/dimiliki oleh mereka, dan bukannya suatu yang baru. Sebagai contoh, agama Islam dijadikan agama rasmi negara, Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan (tetapi Bahasa Pengantar di sekolah-sekolah masih TIDAK SERAGAM, kerana terdapat Bahasa-Bahasa Pengantar Cina dan Tamil digunakan di SRJKC dan SRJKT.

Sejarah sendiri telah membuktikan kesilapan kita. Laporan Barnes (Barnes Report) 1951, walaupun difikir dan digubal semasa zaman Penjajahan Inggeris lagi, tetapi tetap menegaskan pertimbangan yang sangat bernas (well balanced), “ … was a British proposal put forward in 1951 to develop a National Education System in British Malaya”. Berikutnya wujudlah Education Ordinance 1952 yang terus mencadangkan, “ … developing a six-year primary education in Malay and English,” dan tidak disebutkan langsung lain-lain sekolah vernakular. Apa sebabnya? Kerana sejak seawal itu lagi pihak Inggeris (being very pragmatic, rational and far sighted) telah sedar dan nampak dengan jelas bahawa untuk menyatupadukan rakyat Malaya (kini Malaysia) melalui SALURAN pendidikan adalah tidak lain dan tidak bukan kecuali dengan menggunakan satu sistem pendidikan kebangsaan untuk semua, dengan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Pengantar (bukan seperti yang telah diubahsuaikan oleh Penyata Pelajaran Razak 1956 - it has been watered down!).

Dalam konteks ini jelas kelihatan bahawa pemimpin-pemimpin Melayu pada waktu itu telah banyak bertolak-ansur dan berkompromi kerana terlampau ghairah hendak mencapai Kemerdekaan Malaya. Sebab itulah faktor pendidikan dan persekolahan kebangsaan yang gagal menggunakan Bahasa Pengantar yang seragam di semua sekolah, dan diharap-harap dapat menjadi paksi ke arah pencapaian perpaduan rakyat di negara ini (sebagai matlamat utama dalam Laporan Pelajaran Razak 1956) tidak kesampaian. Seolah-olah (some what) Dasar Pendidikan Negara kita kini masih tetap di takok lama yang dianggap mengamal dasar muslihat Penjajah Inggeris, pecah dan perintah.
Marilah sama-sama kita tinjau apa yang berlaku di Indonesia. Pada 28 Oktober 1928, Soempah Pemoeda (Sumpah Pemuda) Indonesia telah dideklamasikan sebagai asas penggerak pelaksanaan Bahasa Indonesia sebagai alat perpaduan negara, berdasar kepada semangat SUMPAHNYA, i.e., satu tanah air dan satu bahasa. Kejayaan pelaksanaan Bahasa Indonesia adalah fenomenal yang ternyata membuktikan bahawa ianya sebagai alat penyatupaduan rakyat dan negara yang paling berkesan. Sebagai contoh, Irian Jaya yang baru sahaja menjadi sebahagian daripada Wilayah Republik Indonesia tetapi penduduknya telah dapat menguasai Bahasa Indonesia dalam masa yang sangat singkat, dan lebih menakjubkan lagi tanpa dicemari pelat (accent) bahasa-bahasa daerah atau kesukuan.
Tetapi kita di Malaysia walaupun sudah 51 tahun merdeka (dan dasar bahasa telah wujud sejak 1956), namun masih terdapat ramai rakyatnya masih menutur Bahasa Melayu dengan “telor” (accent) Bahasa Ibunda masing-masing yang sangat tebal. Amalan dasar satu negara, satu bahasa di Indonesia, dan dengan strategi yang TEGAS dan tidak berdolak-dalik (flip-flop) telah berjaya membina satu rupa bangsa yang kukuh bersatupadu, walaupun Indonesia mempunyai rakyat yang terdiri daripada ratusan suku kaum yang berbeza-beza.
Tak perlu ditanya, saya kira semua pihak telah sedia maklum di mana salah-silapya pelaksanaan Bahasa Melayu di negara ini yang masih gagal untuk menyatupadukan rakyatnya yang hanya beberapa kaum sahaja! - orang Cina bertutur Bahasa Melayu bukan seperti orang Malaysia, tetapi bunyinya seperti orang Cina juga! Masya-Allah! Saya menyeru kepada para pendidik bahasa (munsyi/mahaguru) di Malaysia agar banyak belajar dari kejayaan pendidik bahasa di Indonesia.
Artikel 153 (peruntukan yang paling banyak dipertikaikan) dari Perlembagaan Negara secara langsung dan tidak langsung memelihara kepentingan Ideologi Ketuanan Melayu yang sekaligus merealisasikan hasrat, cita-cita dan persetujuan yang telah dicapai dalam Kontrak Sosial (Social Contract). Di antara intipati Kontrak Sosial tersebut ialah, “ … providing the Indians and Chinese with Citizenship in exchange for the Malays’ special rights or Ketuanan Melayu”. Inilah yang saya sebut di awal tadi sebagai satu trade off (yang merupakan satu pengorbanan yang paling besar di pihak orang Melayu, yang rakyat bukan Melayu jangan mudah lupa. Jika mereka benar-benar menghayati pengorbanan ini nescaya mereka tidak akan mempertikaikan lagi isu hak keistimewaan orang Melayu. Andainya hendak dipersalahkan, maka nenek moyang merekalah yang patut disalahkan, dan bukannya Ideologi Ketuanan Melayu!).
Artikel 153 juga diakui oleh SEMUA sebagai satu-satunya saluran untuk membela nasib rakyat keturunan Melayu (agar peristiwa hitam 13 Mei 1969 tidak berulang lagi) bagi meningkatkan taraf ekonomi mereka, terutama penduduk miskin di kawasan luar bandar dengan mengadakan beberapa headstart programmes. Peruntukan ini sangat prihatin serta memberi penekanan khusus kepada aspek ekonomi dan taraf hidup orang Melayu. Usaha positif yang dirangsangkan oleh peruntukan ini juga telah berjaya mencetuskan beberapa Dasar Kerajaan yang menjurus kepada wujudnya Affirmative Action. Di antaranya yang paling signifikan dan berkesan ialah Dasar Ekonomi Baru (NEP) 1970 yang bertujuan untuk membasmi kemiskinan melalui matlamat serampang dua matanya.
Secara khusus ianya bertujuan untuk mengimbangi (to redress socio-economic imbalance between races) kedudukan/taraf ekonomi rakyat di antara mereka yang berada dan yang kurang berada dengan menghapuskan Pengenalan Kaum melalui kegiatan ekonomi masing-masing - Melayu jelas sekali dikenali sebagai petani dan nelayan di pesisiran pantai, Cina sebagai pedagang dalam bidang komersil, dan orang India adalah penghuni di estet-estet getah dan kelapa sawit. Tegasnya, masyarakat Melayu pada tahun 1970 hanya memiliki 4.0 peratus sahaja daripada ekonomi negara, dan diharap dapat mencapai penguasaan 30.0 peratus di sepanjang pelaksanaan program Dasar Ekonomi Baru (DEB).
Justeru selain dari faktor sejarah asal usulnya, Ketuanan Melayu lahir (came into being) dari daya usaha tawar-menawar (bargaining) yang dikompromi oleh kedua-dua belah pihak; orang Melayu dan bukan Melayu. Ternyata bahawa kedua-dua pihak telah rela engaged dalam satu sincere mutual agreement. Maka dalam konteks ini saya penuh yakin bahawa tidak timbul langsung soal tipu-menipu, paksa-memaksa, tindas-menindas atau aniaya-menganiayai ataupun preferring one ethnic group against the other. Justeru mengapa pula baru kini dipersoalkan, seolah-olah seperti rumah siap, pahat berbunyi, dan persetujuan diberi tetapi ditarik balik (buruk siku). Sikap seperti ini bukan sahaja tidak gentleman, malah secara terang-terang membuktikan peribadi dan sentimen ketidak-jujuran (insincerity) mereka (pihak yang membangkitkan isu Ketuanan Melayu).

AR Munsyi
Disember 2008

No comments: